$ads={1}
Pada 19 Ogos 2023 yang lepas iaitu pada pukul 7.30 petang, aku sekali lagi terpaksa menggunakan khidmat insurans untuk menunda motorsikal aku akibat daripada rantai motorsikal putus ketika dalam perjalanan ke Ipoh, Perak. Kejadian berlaku di Lebuhraya Plus arah utara selepas daripada RNR Ladang Bikam dan juga beberapa kilometer sahaja daripada EXIT ke Bidor, Perak.
Perancangan awal masa itu adalah untuk meminta pihak insurans tunda motorsikal ke pekan Bidor tetapi ada beberapa kekangan iaitu kebanyakan bengkel motorsikal sudah pun menutup operasi mereka. Bahkan ketika aku membuat panggilan beberapa bengkel motorsikal untuk bertanyakan jika mereka ada menjual rantai motorsikal 250cc dan kesemuanya tidak menjualnya.
Pilihan terakhir aku pada masa itu ialah terus tunda motorsikal ke rumah aku di Port Dickson, Negeri Sembilan. Cumanya polisi insurans sedia ada hanya memberikan khidmat tunda secara percuma untuk 50KM sahaja. Lebih daripada itu, aku perlu membayarnya sendiri iaitu dalam RM468.00 (tidak termasuk kos tol pergi balik lori tunda).
Nak dijadikan cerita, esok harinya ketika nak pasang rantai baru di bengkel motor, ada pomen ni beritahu ada satu polisi insurans untuk tunda motorsikal sehingga 600KM yang dinamakan sebagai Bike Warrior. Aku pun terus google tentang Bike Warrior ni. Polisi ni bukan sahaja boleh cover tunda sehingga 600KM tetapi ada banyak lagi perlindungan tambahan seperti:
- Minor Roadside Repair
- Taxi Assistance
- Car Rental Asistance
- Hotel Accommodation Assistance
- Personal Accident Benefits dan lain-lain
Kemudian aku buat keputusan untuk membeli polisi insurans Bike Warrior untuk menggelakkan kejadian yang sama berlaku. Rabak juga duit poket nak bayar duit nak tunda motorsikal untuk jarak jauh sebegitu. Dah la keluar duit banyak untuk kos tunda motorsikal, lepas tu nak kena keluar duit untuk kos baiki pula.
Walaubagaimanapun, polisi Bike Warrior ini hanya layak untuk motorsikal 250cc dan ke atas sahaja. Harga untuk polisi Bike Warrior ni hanya sekitar RM140 sahaja (tidak termasuk duti setem dan service tax).
Aku rasa polisi Bike Warrior ni memang berbaloi untuk dimiliki untuk motorsikal yang besar. Bukan apa, waktu motorsikal aku tersadai haritu, ada juga beberapa rider yang nak memberikan pertolongan nak tolak. Tetapi disebabkan motor agak berat, diorang tak mampu untuk tolak. Sekurang-kurangnya, boleh la juga sewa kereta untuk balik ke rumah daripada naik lori.